Pemuda miliki lebih 100 spesies ikan gupi

Iklan
Ikan gupi dipelihara dalam akuarium memerlukan penjagaan rapi.

TUMPAT - Bermula memelihara ikan untuk menghilangkan tekanan, seorang pemuda dari Kampung Geting kini memiliki lebih 100 spesies ikan gupi yang dipelihara dalam 300 buah akuarium di kediamannya.

Amir Ilyassok, 23, berkata, ia bermula apabila abangnya, Mohd Zaid Ilyassok, 28, memelihara ikan bersaiz kecil antara dua hingga tujuh sentimeter (cm) itu sebagai hobi.

Iklan
Iklan

Menurut Amir, ketika usianya 15 tahun, dia hanya memelihara ikan betta untuk menghilangkan tekanan sebelum memilih gupi kerana warnanya lebih menarik dan cantik.

"Saya hanya bermula dengan tiga pasang ikan gupi jenis magenta dan kini sudah mempunyai 300 akuarium diisi ikan itu yang turut membantu menjana pendapatan," katanya.

Iklan

Amir memeriksa anak ikan gupi peliharaannya.

Obses melihat ikan gupi berlainan warna menggalakkan Amir membeli lebih banyak ikan dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Iklan

Bagaimanapun katanya, spesies dari Vietnam termasuk albino full red short body, albino sky blue half moon dan HB yellow ribbon lebih popular kerana lebih tahan lasak.

"Selain itu tidak sukar membezakan ikan jantan atau betina kerana ikan jantan lebih cantik dengan ekor kembang," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun minat terhadap ikan gupi namun Amir belum bersedia untuk membelinya dari negara Eropah kerana banyak prosedur yang perlu dilakukan selain enggan menanggung risiko.

"Ada juga yang sensitif dan genetiknya boleh terganggu sehingga mengubah warna asal jika diletakkan bersama spesies lain sekali gus tidak dapat mengekalkan bakanya," ujar Amir lagi.

Amir juga tidak menafikan memelihara ikan jenis ini turut berdepan cabaran termasuk keadaan cuaca dan suhu air.

Makanan ikan gupi disalurkan terus ke akuarium.

"Paling menyedihkan apabila hampir 600 ekor ikan mati dalam kejadian enam tahun lalu akibat jangkitan kerana hujan lebat dan cuaca sejuk," katanya.

Justeru, dia kini lebih berhati-hati dan menukar air dalam tempoh antara tiga hingga empat hari bagi mengelakkan ikan terkena jangkitan selain mengurangkan penggunaan tangan untuk menyentuhnya.

"Ikan gupi juga sensitif dengan klorin dan perlu air semula jadi," katanya.

Amir berkongsi bahawa ikan gupi diperkenalkan di negara Asia bagi tujuan pengawalan nyamuk terutamanya denggi mudah membiak iaitu seawal dua minggu jika betul kaedah penjagaan dan pemakanannya.

Melalui pengalamannya, kata Amir jangka hayat ikan gupi ialah sehingga dua tahun dengan penjagaan paling baik.