[VIDEO] 'Kalau marah pun, anak saya tak boleh hidup semula'

Iklan

MELAKA – “Saya hanya mampu reda... kalau saya marah pun, anak saya tidak boleh hidup semula.”

Demikian luahan sebak seorang bapa, Muhammad Faiz Adli Muhammad Khatib, 33, susulan pemergian anak bongsunya, Saif Fahri Muhammad Faiz Adli, berusia enam bulan, yang disahkan meninggal dunia ketika berada dalam jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Padang Temu pada Rabu.

Iklan
Iklan

Muhammad Faiz Adli (kiri) ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka pada Khamis. Saif Fahri (kanan) berusia enam bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan sebuah taska pada Rabu.

Menurut Faiz, meskipun kehilangan itu amat pedih, dia dan isterinya, Nur Saadah Zamri, 33, memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak buat masa ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan siasatan.

Iklan

“Jenazah anak saya seperti sedang tidur… saya panggil Saif, saya tunggu dia bangun tapi saya reda, saya terima ketentuan ALLAH,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Melaka pada Khamis.

Muhammad Faiz Adli dan isterinya ketika menunggu proses menuntut jenazah anak bongsu lelaki mereka.

Iklan

Muhammad Faiz Adli yang juga seorang peniaga nasi lemak berkata, ini bukan kali pertama anaknya dijaga di taska berkenaan.

"Anak sulung saya juga pernah dihantar ke pusat jagaan sama sejak berusia tiga bulan.

“Anak sulung saya pun cakap cikgu-cikgu di situ baik, penyayang,tidak pernah marah atau kasar,” ujarnya.

Dia menambah, walaupun kejadian ini amat menyedihkan, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum semua pusat asuhan secara umum.

“Jangan pukul rata semua taska. Biarlah laporan bedah siasat keluar dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu turut berharap apa yang berlaku membuka mata pihak berwajib untuk menambah baik sistem pemantauan taska agar kejadian seumpama ini tidak lagi berulang.

“Kalau ada kelompongan, baiki. Jangan ada lagi ibu bapa yang alami apa yang kami lalui hari ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di sebuah taska kira-kira jam 5 petang pada Rabu.

Pengasuh dikatakan menyedari keadaan bayi itu semasa pemeriksaan rutin, sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka dan disahkan telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001.

Jenazah bayi lelaki tersebut dijangka dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang.