Projek pengembangan pusat beli-belah AEON Seremban 2 bermula

Iklan
Menteri Besar Negeri Sembilan. Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah), Pengerusi AEON CO. (M) BHD, Datuk Iskandar Sarudin (tiga, kiri) dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada (tiga, kanan) merasmikan majlis pecah tanah.

SEREMBAN – AEON CO. (M) BHD. (AEON) bakal mengubah landskap peruncitan di Negeri Sembilan dengan pembangunan baharu bagi pengembangan pusat beli-belah AEON Seremban 2 di Negeri Sembilan.

Pembangunan baharu ini merupakan sebahagian daripada komitmen AEON untuk memenuhi keperluan gaya hidup dan ekonomi penduduk Seremban yang semakin berkembang pesat.

Iklan
Iklan

Majlis pecah tanah untuk pembangunan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Pengerusi AEON CO. (M) BHD, Datuk Iskandar Sarudin,dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.

Pengembangan bangunan baru ini akan melengkapi bangunan pusat beli belah AEON Seremban 2 sedia ada yang telah berkhidmat untuk komuniti setempat sejak 2005.

Iklan

Persembahan tarian piring oleh murid Sekolah Kebangsaan Seremban 2A sebagai acara pembukaan majlis.

Bangunan baru setinggi empat tingkat termasuk dua tingkat untuk tempat letak kereta itu akan dibina di atas tapak seluas 23.04 ekar yang terletak bertentangan dengan pusat beli-belah yang sedia ada.

Iklan

Kedua-dua bangunan ini akan dihubungkan melalui jambatan pejalan kaki bagi memastikan akses yang mudah dan selesa kepada para pengunjung.

Dengan jumlah keluasan lantai bersih (NLA) lebih 700,000 kaki persegi, pusat beli-belah AEON Seremban 2 akan menjadi pusat beli-belah yang terbesar di Seremban.

Pengembangan bangunan baharu ini disasarkan siap pada 2027, manakala pusat beli-belah sedia ada akan terus beroperasi seperti biasa.

Naoya Okada berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan pengembangan perniagaan mereka di Seremban, sebuah bandar yang sentiasa menunjukkan kemajuan dan kemakmuran.

“Pembangunan ini bukan sekadar pengembangan fizikal bangunan pusat beli-belah kami. Ia juga merupakan komitmen kami untuk menyediakan ruang yang lebih baik kepada komuniti di Seremban khasnya untuk membeli-belah, berinteraksi, dan meluangkan masa yang bermakna bersama keluarga.

“Ia juga menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan, di samping membantu pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Kami yakin pembangunan ini dapat menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat, membuka lebih peluang pekerjaan dan memperkenalkan pelbagai jenama, pilihan makanan, hiburan serta kemudahan yang berorientasikan komuniti,” katanya.

Taklimat mengenai projek pengembangan AEON Seremban 2 oleh Ketua Pegawai Hartanah AEON, Lee Beng Beng.

Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada strategi AEON untuk memodenkan pusat beli-belah dan perkhidmatannya.

Pada tahun lepas, AEON telah mengukuhkan perniagaannya dengan pembukaan pasar raya ke-35 di Setia Alam dan pelancaran AEON Wellness serta DAISO di Bloomsvale Shopping Gallery, Kuala Lumpur.

AEON MaxValu Desa ParkCity dan AEON Bandar Puchong turut dinaik taraf bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan penawaran produk yang lebih baik.

Pada tahun ini pula AEON telah membuka semula pusat beli-belah AEON Ipoh Station 18 dengan wajah baharu.

Projek naik taraf juga sedang dilaksanakan di beberapa pusat beli-belah utama termasuk pusat beli-belah AEON Shah Alam, AEON Bukit Indah, AEON Bandaraya Melaka dan AEON Kinta City.