MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dipercayai lemas di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Padang Temu di sini pada Rabu.
Kejadian itu disedari pengasuh taska berkenaan kira-kira jam 5 petang ketika mahu memeriksa keadaannya namun disahkan meninggal dunia ketika dirujuk ke Hospital Melaka.
Menurut sumber, pengasuh melihat bayi tersebut dalam keadaan tertiarap dengan mukanya sudah kebiruan.
“Pengasuh kemudian membawa bayi tersebut kepada pengusaha taska sebelum dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir untuk pemeriksaan lanjut.
"Doktor cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sementara menunggu bantuan ambulans tiba, namun telah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka ketika sekali lagi bantuan CPR cuba diberikan kepada bayi itu," katanya.
Sumber itu berkata, pemeriksaan ke atas badan bayi berkenaan tidak menemui sebarang kesan perbuatan unsur jenayah.
Sementara itu,Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.