Malaysia kecam serangan Israel ke atas Syria - PM

Iklan
Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu yang dilancarkan Israel ke atas Damsyik, Syria.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi beliau pada Khamis.

Iklan
Iklan

Tegasnya, serangan berkenaan bukan sahaja mencabul kedaulatan Syria, malah mengorbankan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

“Serangan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria,” katanya.

Iklan

Beliau turut menzahirkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Syria yang telah lama menderita akibat konflik berpanjangan.

“Syria telah melalui penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak menikmati keamanan bukannya terus menjadi mangsa keganasan atau campur tangan kuasa luar.

Iklan

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menggesa agar pencabulan seperti ini dihentikan serta-merta dan supaya komitmen terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang diperbaharui,” ujar beliau.

Sebelum ini, beberapa media antarabangsa melaporkan beberapa siri serangan udara Israel ke atas Damsyik menyebabkan kematian serta kerosakan harta benda awam.