STATUS Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) masih menjadi teka-teki sama ada ia akan terus berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) atau diambil alih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berharap semua pihak untuk bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai hala tuju kedua-dua program pembangunan di peringkat akar umbi tersebut.
“Untuk yang ini, saya rasa kena tunggu pengumuman rasmi daripada Menteri mengenai NFDP untuk perancangan tahun hadapan,” katanya.
AMD dan NFDP adalah program yang memberi fokus kepada bola sepak dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat muda, dan pemilihan berada di bawah FAM mungkin itu tindakan tepat bagi memudahkan segala perancangan dibuat dengan lebih terperinci.
Sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014, MSN memainkan peranan penting terutama dalam perancangan kewangan bagi mereka menghadapi segala pertandingan sama ada di dalam atau luar negara.
Pun begitu, ketika ini timbul pula desas-desus bahawa kemungkinan peranan utama itu akan bertukar tangan daripada MSN kepada FAM.
Dalam pada itu, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa agenda tersebut giat dibincangkan dan akan mendapatkan maklumat secara terperinci.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan perubahan itu akan berlaku.
“Saya fikir perkara itu dalam perancangan, saya simpan dulu komen untuk saya dapatkan penjelasan terkini (mengenai perkembangan AMD dan NFDP). Saya tahu dia tentang dalam peralihan,” katanya.