SHAH ALAM - Rakyat Malaysia lebih memilih destinasi persisir pantai untuk bercuti susulan suhu dan kelembapan tinggi yang dijangka berterusan hingga September depan.
Pengarah Negara Agoda di Malaysia, Fabian Teja berkata, data terkini dikeluarkan oleh platform pelancongan digital terkemuka, Agoda menunjukkan tiga destinasi utama iaitu Semporna, Kuala Terengganu dan Pulau Tioman mencatat peningkatan ketara dari segi carian destinasi pelancongan.
Menurutnya, carian untuk destinasi kawasan pesisiran pantai bagi tempoh percutian antara Jun hingga Ogos 2025 meningkat sebanyak 35 peratus secara keseluruhan, berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ini menunjukkan kecenderungan pelancong domestik untuk menjauhkan diri dari bahang kota dan mencari ketenangan di kawasan pantai yang lebih nyaman serta menyegarkan.
“Semporna, Sabah mencatat peningkatan carian tertinggi iaitu sebanyak 38 peratus diikuti Kuala Terengganu 37 peratus berbanding tahun lalu.
"Pulau Tioman pula mengalami pertambahan carian sebanyak 27 peratus,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.
Fabian menjelaskan peningkatan minat terhadap destinasi pantai menunjukkan rakyat negara ini mencari tempat selesa untuk melegakan diri dari cuaca panas.
Tambah beliau, kawasan pantai bukan sekadar destinasi pelancongan yang menawarkan udara nyaman, malah mampu menyegarkan semula fizikal dan mental.