SHAH ALAM – Polis memanggil semua individu yang menghadiri program eHati di sebuah pusat konvensyen di sini untuk tampil memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengenal pasti 50 peserta yang terlibat dalam program motivasi rumah tangga berkenaan yang berlangsung pada September lalu.
Beliau berkata, peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang datang dari luar Selangor seperti Kedah.
"Kita sudah ada senarai nama dan menyeru semua yang terlibat supaya tampil secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk dirakam percakapan.
"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk melakukan tangkapan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Rabu.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 30 individu termasuk penganjur dan peserta program telah dipanggil untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pendedahan seorang pengguna Facebook yang mendakwa berlaku pelbagai aktiviti mencurigakan dalam program tersebut yang dianjurkan sepasang suami isteri.
Antara dakwaan yang timbul termasuk dua wanita melakukan tarian bogel di atas pentas ketika program berlangsung.
Program berkenaan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan tujuan sebenar dan pengisian program terbabit.