SERDANG - Sebuah bas persiaran musnah terbakar dalam kejadian di Kilometer 20.2 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini pada pagi Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.
Iklan
Iklan
“Setibanya di lokasi, kita dapati api sedang marak dan kebakaran telah memusnahkan kira-kira 90 peratus daripada struktur bas.
“Namun kesemua 12 penumpang dan pemandu sempat keluar daripada bas sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut dan semua penumpang berjaya diselamatkan.
“Penumpang telah dipindahkan ke sebuah bas lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi mereka,” ujarnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.