GEORGE TOWN- Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia di rumahnya yang berkunci dalam kejadian di Hong Seng Estate, Mount Erskine, Tanjung Tokong, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.58 malam itu, polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki dipercayai terkunci di dalam rumah sebelum meminta bantuan daripada bomba untuk membuka pintu.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba pada jam 12.01 tengah malam, kita mendapati memang benar terdapat seorang mangsa terkunci di dalam rumah berkenaan.
"Polis meminta kami membantu membuka pintu kerana mangsa yang merupakan warga emas tidak dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, pasukan bomba kemudian menggunakan alat khas pemotong besi untuk memecahkan mangga pintu rumah terbabit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa, dikenali sebagai Lim Ban Heng, 79, disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.49 tengah malam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.