SHAH ALAM - Tular di media sosial TikTok apabila seorang wanita memuat naik video bercakap dengan pokok sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Bidan, Siti Rosemynah Othman, 50, berkata beliau terkejut kerana perkongsiannya kali ini meraih perhatian ramai, terutamanya generasi muda yang tidak terbiasa dengan amalan bercakap dengan tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi.
Menurut nenek kepada tiga cucu itu, seni berinteraksi dengan pokok dan amalan menyantuni alam telah diajar oleh neneknya sejak kecil lagi.
Katanya, tidak ramai yang menyedari manfaat sebenar berbicara dengan pokok, yang dikatakan mampu memberikan ketenangan hati dan minda, khususnya buat mereka yang gemar bercucuk tanam.
“Sepanjang tempoh membesar dengan nenek, perbuatan dia bercakap dengan pokok bunga memang saya terikut-ikut sehingga sekarang.
“Apabila saya lihat dan tiru cara nenek, rupa-rupanya amalan itu memberikan ketenangan, ditambah pula dengan aroma bunga-bungaan tersebut. Dia juga selalu pesan, ‘Nanti berbunga wangi ya,’ dan memang pokok bunganya jadi begitu.
“Macam saya pula, saya tanam sendiri pokok bunga dan buah-buahan di sekeliling rumah. Saya makan kelopak melur, cempaka serta kenanga, buat teh ros dan amalkan mandi bunga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Hantaran video Siti Rosemynah memperoleh 1.2 juta tontonan, 50,000 tanda suka, lebih 3,700 komen dan 123,000 perkongsian ke platform media sosial lain.
Menjengah ke ruangan komen, ada yang menganggap ia satu pendekatan terapeutik yang efektif buat penghidap keresahan melampau (anxiety) dan tekanan, ada juga yang melihatnya sebagai bahan jenaka, dan tidak kurang pula yang mentertawakan gelagat aneh wanita tersebut, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Mesra dipanggil ‘Kak Siti Bidan’, beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai tukang urut kepada kerabat diraja Johor selama lima tahun.
Namun, jelas ibu kepada lima cahaya mata itu, beliau memutuskan untuk bersara dan kini hanya menyampaikan ilmu perbidanan serta pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan melalui media sosial disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.
Siti Rosemynah berpandangan bahawa pendekatannya dalam mencari ketenangan diri berbeza dengan generasi muda masa kini yang majoritinya lebih gemar ‘healing’ melalui konsert atau percutian.
“Memang ramai yang mengata macam-macam — suruh saya keluar rumahlah, banyakkan bergaul dengan oranglah...
“Kebanyakannya daripada generasi Z. Saya percaya mereka tidak tahu tentang manfaat bercakap dengan tumbuh-tumbuhan kerana tiada role model yang ajarkan. Mereka anggap aktiviti berkebun hanya untuk orang tua.
“Mereka mungkin rasa pelik kerana seolah-olah kehilangan sesuatu. Kita buat, mereka tidak buat — padahal bercakap dengan pokok ialah perkara biasa bahkan rakyat negara lain pun tahu kebaikannya,” ujar wanita asal Teluk Panglima Garang itu.