KUALA LUMPUR - Jenama teknologi global, HONOR dan Tourism Malaysia memeterai memorandum kerjasama (MOC) bagi mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Presiden HONOR Pasifik Selatan, Justin Li berkata, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya berhasrat untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan warisan semula jadi negara kepada pelancong melalui inisiatif fotografi mudah alih.
Ujar beliau, pelbagai aktiviti juga akan dianjurkan seiring dengan kolaborasi berkenaan merangkumi pertandingan fotografi, bengkel, pameran seni, dan acara kebudayaan.
"Kami berbesar hati untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi.
"Kami ingin mencipta peluang baharu untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, memperkasakan belia negara dan memupuk pertukaran budaya.
"Bukan sahaja pelancong, rakyat Malaysia sendiri juga akan dapat menikmati dan menghargai keindahan serta keajaiban negara yang dirakamkan melalui telefon pintar HONOR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di sebuah hotel pada Selasa.
Hadir sama Kaunselor Menteri Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Chen Youliang; Pengarah Pemasaran HONOR Malaysia, Victor Yu dan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi.
Menurut Li, kolaborasi dengan Tourism Malaysia merupakan langkah yang bermakna ke arah mendalami kerjasama dalam aspek pelancongan pintar, promosi jenama dan pemerkasaan belia.
Katanya, ia juga menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi industri pelancongan negara, di samping mengukuhkan lagi pertukaran budaya antara China dan Malaysia.
"Kami percaya bahawa teknologi adalah pemacu utama dalam pelancongan pintar. Dengan teknologi HONOR Magic V5 dan inovasi berterusan kami, kami berhasrat untuk membantu pengunjung menerokai keunikan, keindahan dan budaya Malaysia sambil menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dan pintar," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, pihaknya juga teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berpandangan jauh seperti HONOR.
Menurutnya, kolaborasi berkenaan dilihat dapat menyokong usaha Tourism Malaysia dalam mempelbagaikan strategi promosi dan memanfaatkan inovasi dalam pemasaran pelancongan.
"Kami bertekad untuk membina kerjasama awam-swasta yang kukuh yang dapat meningkatkan keterlihatan jenama Malaysia di persada global.
"Kami yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi penanda aras bagi kerjasama pelancongan di rantau ini, sekali gus meningkatkan keterlihatan global Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi yang mesti dilawati," menurutnya.