SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pelanggan lelaki terkejut apabila menemui sebatang paku dalam makanan yang dibelinya di sebuah kedai makan baru-baru ini.
Menerusi video perkongsian yang tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki memanggil salah seorang pekerja tersebut dan memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
Lelaki terbabit mendakwa paku tersebut ditemui dalam hidangan ayam ketika sedang menjamu selera.
Kemudian, pekerja tersebut dilihat mengambil hidangan lelaki berkenaan dan digantikan dengan yang baru.
Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mempersoalkan tahap kebersihan kedai makanan terbabit.
Ada juga warganet menyarankan supaya pelanggan itu membuat aduan kepada pihak berwajib.
Salah seorang pengguna TikTok menasihatkan supaya kejadian itu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diambil tindakan.
“Buat aduan KKM supaya peniaga lebih bertanggungjawab,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna TikTok turut mencadangkan supaya pelanggan berkenaan mengambil tindakan saman terhadap kedai tersebut kerana cuai dalam mengendalikan makanan.