LONDON - Kemalangan tragis menimpa sebuah pesawat ringan di Lapangan Terbang London Southend pada Ahad.
Saksi kejadian itu memaklumkan juruterbang sempat melambaikan tangan kepada sebuah keluarga sebelum pesawat itu menjunam ke tanah lalu meletup hingga menghasilkan bebola api besar disusuli kepulan asap tebal.
"Kami sekeluarga terpaku melihat nahas itu setelah dia membalas lambaian kami ketika pesawat tersebut mahu berlepas," kata John Johnson yang berada di lapangan terbang tersebut.
Pesawat sepanjang 12 meter itu dilaporkan terbalik sebelum terhempas.
Susulan kemalangan menggemparkan itu, operasi di lapangan terbang itu terpaksa dihentikan sementara.
Gambar dan rakaman insiden itu turut tular di media sosial, namun tiada butiran tentang jumlah sebenar mangsa penumpang.
Pesawat kendalian Zeusch Aviation di Belanda itu terbang dari Athens di Greece ke Pula di Croatia sebelum menuju ke Southend.
Ia dijadualkan kembali ke Lelystad, Belanda pada petang Ahad.
Sementara itu, Zeusch Aviation mengesahkan penerbangan SUZ1 terlibat kemalangan berkenaan dan mereka menyokong siasatan penuh terhadap kejadian tersebut. - Agensi