SHAH ALAM - Polis percaya remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu masih berada di dalam negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki remaja terbabit.
“Setakat ini seramai lima individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes masih dalam tindakan dan dipercayai remaja itu masih berada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Hussein, setakat ini ibu bapa dan keluarga remaja terbabit masih belum diambil keterangan.
Pada Khamis, media melaporkan kenyataan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus bahawa remaja berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Satu laporan polis berkaitan kehilangan mangsa diterima di Balai Polis Main Terminal Building (MTB), KLIA dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-736 9187.