KAJANG - Seorang penuntut sebuah kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta Perodua Bezza di Kilometer 289.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 9.15 malam apabila seorang lelaki yang juga pekerja swasta berusia 30-an memandu kereta dari Seremban menghala ke Kuala Lumpur.
“Lelaki yang memandu di lorong tengah telah memperlahankan kenderaan kerana terdapat kemalangan di hadapan, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang kereta tersebut.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.
“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu,” ujarnya.