KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh pembantunya, Sufi Yusoff kepada Astro AWANI sebentar tadi.
Menurut Sufi, Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekitar jam 10 pagi selepas menghadiri program Picnic & Potluck di Putrajaya.
“Ya, betul-betul Tun keletihan. Jadi beliau tinggalkan majlis awal dan kini sedang berehat.
“Keadaannya okay, cuma beliau diminta berehat dan kini berada di IJN,” katanya.
Sufi menambah, Dr Mahathir yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, dijangka keluar dari IJN pada petang ini.
Terdahulu, Dr Mahathir hadir program Picnic & Potluck sempena sambutan kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu, serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh tiba jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum mengayuh basikal di sekitar Tasik Putrajaya. - Awani