TANGKAK – Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 144.1 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran Bukit Gambir, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penguasa Bomba Kanan II (Khas Untuk Penyandang - KUP), Mohd Nazir Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.25 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi sejauh 21 kilometer.
“Setibanya di lokasi pada jam 1.47 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan yang membawa muatan batu telah terbabas ke dalam gaung di tepi lebuh raya.
“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di dalam kabin lori, dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi dikawal pada jam 1.56 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 3.57 pagi.