RANAU – Seramai 22 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain di Kilometer 15, Jalan Ranau-Tamparuli, di sini, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, bas dilaporkan terbabas ke tepi jalan, mengakibatkan dua penumpang, pemandu bas serta seorang lagi pemandu kenderaan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, kenderaan jenis Proton Saga, Perodua Ativa dan sebuah treler.
“Siasatan awal mendapati, bas yang membawa 22 penumpang dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang konduktor, sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bas dipercayai memotong di garisan berkembar dengan laju lalu melanggar cermin sisi Perodua Ativa. Bas kemudian melanggar bahagian belakang Proton Saga sehingga menyebabkan kenderaan itu tersorong ke hadapan dan melanggar sebuah treler.
“Ketika kejadian, kesemua kenderaan sedang menghala ke arah Ranau. Akibat kemalangan itu, dua penumpang bas mengalami kecederaan dan telah dirawat di Hospital Ranau,” katanya.
Tambah beliau, siasatan di lokasi kejadian mendapati insiden berlaku pada waktu malam, namun terdapat pencahayaan jalan dan keadaan cuaca adalah baik.
“Bentuk jalan adalah lurus dengan garisan berkembar, manakala permukaan jalan adalah bertar, kering dan rata.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred memaklumkan bahawa bas yang terlibat telah terbabas, menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan.
“Seorang penumpang dilaporkan cedera manakala seorang lagi tidak sedarkan diri. Kedua-duanya telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.
“Operasi ditamatkan pada jam 11.44 malam selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan selamat sepenuhnya,” ujarnya.