Bangkai ikan tilapia hitam dibuang dalam sungai

Iklan
Ratusan bangkai ikan tilapia hitam ditemui di Sungai Kinta dekat Ipoh yang dipercayai dibuang individu yang tidak bertanggungjawab. Foto: ihsan pembaca

IPOH – Ratusan bangkai ikan tilapia hitam yang ditemui terapung di Sungai Kinta di sini minggu lalu disyaki dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, ujian yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Perak dan Jabatan Alam Sekitar negeri tidak menemui sebarang unsur pencemaran.

Iklan
Iklan

“Keadaan sungai dan kualiti air berada dalam keadaan baik. Ikan-ikan ini disyaki telah mati sebelum dihanyutkan ke sungai tersebut.

“Berdasarkan saiz yang seragam, ikan-ikan ini dipercayai berasal daripada aktiviti penternakan ikan kolam dan bukannya spesies ikan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aktiviti Pembersihan Sungai sempena Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Negeri Perak Siri 1/2025 di Dataran Taman D.R. Seenivasagam di sini pada Sabtu.

Iklan

Kok Lim (lima dari kanan) merasmikan program Aktiviti Pembersihan Sungai Sempena Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Negeri Perak Siri 1/2025 di Dataran Taman D R Seenivasagam di

Menurut Kok Lim, dianggarkan lebih 100 ekor bangkai ikan telah dikumpulkan dan dilupuskan, selain siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat.

Iklan

“Kita segera turun ke lokasi dan membawa keluar semua bangkai ikan sebelum ia dihanyutkan lebih jauh kerana dikhuatiri boleh menyebabkan penularan penyakit yang menjejaskan populasi ikan asal.

“Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab. Jangan ambil tindakan singkat dengan menganggap sungai ini sebagai tapak pelupusan,” tegasnya.