Awas akaun TikTok palsu Menteri KDN tawar bantuan kewangan

Iklan
Pejabat Menteri Dalam Negeri nafi sebarang penglibatan Saifuddin Nasution dalam aktiviti penyaluran bantuan kewangan melalui platform TikTok.

SHAH ALAM – Pejabat Menteri Dalam Negeri menafikan sebarang penglibatan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam aktiviti penyaluran bantuan kewangan melalui platform TikTok.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, pejabat beliau memaklumkan bahawa beberapa akaun palsu telah dikesan menyalahgunakan nama dan gambar Menteri Dalam Negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, pihaknya menafikan dakwaan kononnya terdapat tawaran bantuan kewangan menerusi pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio akaun TikTok terbabit.

“Akaun rasmi TikTok YB Datuk Seri Saifuddin Nasution adalah menggunakan nama penuh beliau, iaitu @saifuddin_nasution.

Iklan

“Sebarang akaun lain yang mendakwa mewakili beliau adalah palsu dan tidak sah,” jelas kenyataan itu.

Taktik tersebut dipercayai bertujuan memperdaya orang awam untuk membuat bayaran pendahuluan kononnya sebagai syarat menerima bantuan kewangan.

Iklan

Pejabat menteri turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat, dan aduan rasmi juga telah dikemukakan kepada pihak TikTok.

Setakat ini, tiga akaun palsu telah dikenal pasti dan berjaya disekat, antaranya ialah Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan diwujudkan pada masa hadapan bagi meneruskan penipuan ini,” tambah kenyataan itu.

Orang ramai disarankan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran bantuan mencurigakan di media sosial.

Pejabat Menteri turut mengingatkan orang awam supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak serta mengelakkan daripada berkongsi maklumat peribadi dengan akaun yang tidak dikenali.

“Jangan sesekali membuat bayaran kepada mana-mana individu yang mendakwa mewakili menteri.

“Pihak YB Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak akan sesekali meminta sebarang bayaran bagi apa-apa bentuk bantuan.

“Kami juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan ini,” katanya lagi.

Orang ramai diminta merujuk kepada saluran rasmi media sosial Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.