FAM, Football Australia ikat kerjasama gilap bakat muda

Iklan
Mohd Joehari (belakang, tengah) bersama skuad B-15 negara yang beraksi pada Kejohanan Emerging Socceroos Championships di Melbourne, Australia. Foto Facebook FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengikat kerjasama strategik dengan Football Australia bagi memajukan program pembangunan bola sepak, khususnya di peringkat akar umbi dan liga pembangunan.

Kolaborasi tersebut terjalin menerusi kunjungan hormat Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub ke atas Pengerusi Football Australia, Anter Isaac di Melbourne, Australia pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Antara fokus utama dalam pertemuan tersebut ialah perkongsian model kejayaan Football Australia dalam pembangunan pemain muda.

Kerjasama itu turut melibatkan program akademi remaja untuk mencungkil bakat masa hadapan serta pertukaran pengetahuan dalam sistem liga pembangunan bagi meningkatkan kualiti bola sepak kedua-dua negara.

Iklan

Mohd Joehari berada di Melbourne bagi memberikan semangat kepada skuad remaja negara bawah 15 tahun (B-15) yang sedang beraksi pada Kejohanan Emerging Socceroos Championships 2025.

Ia merupakan penyertaan pertama skuad Harimau Malaya dalam kejohanan tersebut atas jemputan Football Australia.

Iklan

Mohd Joehari berkata, FAM berhasrat untuk mengadaptasi pendekatan yang digunakan oleh Australia demi melahirkan lebih banyak bakat tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Pertemuan ini membuka pintu kepada lebih banyak kolaborasi dengan Football Australia, terutama dalam membina generasi pemain berkualiti dari peringkat akar umbi.

“Kami komited untuk membawa pulang ilmu terbaik bagi memacu bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kejohanan Emerging Socceroos menjadi platform penting buat Football Australia dalam mengenal pasti bakat muda sebelum diserap ke peringkat profesional.