SHAH ALAM – Lima negeri dan dua wilayah di Malaysia mencatatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita melebihi purata nasional RM53,400 berdasarkan data terbaharu tahun 2024 dikeluarkan Bank Dunia.
Negeri-negeri tersebut termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM135,800), Wilayah Persekutuan Labuan (RM86,700), Pulau Pinang (RM75,700), Sarawak (RM73,100), Selangor (RM65,600), Melaka (RM54,300) dan Negeri Sembilan (RM53,700).
Iklan
Iklan
Data itu menunjukkan hanya tujuh negeri melepasi paras purata nasional, manakala selebihnya masih berada di bawah tahap pendapatan nasional.
Lapan lagi negeri merekodkan PNK dibawah purata nasional iaitu Pahang (RM49,400), Johor (RM44,600), Perak (RM38,800), Terengganu (RM32,300), Sabah (RM30,500), Kedah (RM27,200), Perlis (RM24,600) dan Kelantan (RM17,300).
Data berkenaan dikongsi Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi menerusi ciapan di platform X pada Jumaat.
Apurva berkata, usaha Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi masih berterusan apabila purata nasional RM53,400 masih di bawah ambang RM63,800 ditetapkan Bank Dunia.
"Hanya lima negeri dan wilayah persekutuan mencapai status berpendapatan tinggi iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor, tetapi Malaysia secara keseluruhannya tidak," kongsi beliau.