BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kereta di Kilometer 122, Jalan Johor Bahru–Melaka, Tanjung Laboh, dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 6.20 petang ketika mangsa yang berusia 70 tahun sedang dalam perjalanan dari arah selatan lorong jalan sehala menuju ke Tanjung Laboh.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah melintasi jalan utama secara melulu bagi tujuan membelok ke kanan menghala ke pusat bandar Batu Pahat.
“Tindakannya itu menyebabkan berlakunya pelanggaran dengan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang sedang bergerak lurus di laluan tersebut.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh pula oleh sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 26 tahun," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu Proton Saga serta pemandu dan penumpang Perodua Viva dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Pada masa sama, kejadian itu turut melibatkan dua lagi kenderaan iaitu Perodua Kancil dan Perodua Viva yang gagal mengelak lalu bertembung antara satu sama lain.