Sudah 300km baru sedar isteri tertinggal

Iklan
Lelaki berusia 62 tahun terlupa isterinya ketika turun untuk mengisi minyak di sebuah kawasan rehat di Deux-Sevres, Perancis. - Agensi

PARIS – Seorang lelaki berusia 62 tahun mencetuskan panik dalam kalangan pihak berkuasa Perancis selepas menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan bahawa beliau telah tertinggal isterinya di sebuah stesen minyak lebuh raya.

Lebih mendebarkan, lelaki itu tidak dapat mengingati lokasi sebenar kejadian.

Iklan
Iklan

Insiden pelik itu berlaku pada 5 Julai lalu, ketika lelaki berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan bercuti dari Paris ke Maghribi menaiki kereta.

Menurut laporan media tempatan, mereka berhenti di beberapa stesen minyak sepanjang perjalanan. Namun sekitar jam 4.30 pagi (waktu tempatan), lelaki itu secara tidak sedar telah memandu meninggalkan isterinya.

Iklan

Apa yang lebih mengejutkan, beliau hanya menyedari kehilangan isterinya selepas memandu kira-kira 300 kilometer dari lokasi tersebut, sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

“Kami menerima panggilan yang agak mengelirukan sekitar jam 8.30 pagi,” kata pihak Gendarmerie di wilayah Lardes kepada saluran berita France 3.

Iklan

Difahamkan, lelaki berkenaan langsung tidak dapat mengingati lokasi atau masa hentian terakhir, dan hanya menyebut kemungkinan berhenti di kawasan sekitar Orléans.

Lebih mengelirukan, anak perempuan pasangan itu yang berusia 22 tahun juga berada dalam kereta, tetapi tidak menyedari kehilangan ibunya kerana tidur sepanjang perjalanan.

Usaha pihak berkuasa mengesan wanita berkenaan di beberapa kawasan rehat sepanjang lebuh raya pada awalnya gagal, sehingga timbul kecurigaan bahawa lelaki itu mungkin sengaja meninggalkan isterinya.

Namun, insiden itu berakhir dengan baik apabila polis berjaya mengesan wanita tersebut dengan bantuan syarikat telekomunikasi yang menjejak lokasi telefon bimbitnya.

Wanita itu ditemui di sebuah kawasan rehat di Deux-Sèvres, kira-kira 300 kilometer dari tempat suaminya menyedari ketiadaan beliau.

Difahamkan, wanita itu tidak berganjak dari lokasi berkenaan sejak jam 4.30 pagi, sambil menunggu keluarganya berpatah balik.

Selepas siasatan ringkas, pihak berkuasa mengesahkan bahawa lelaki berkenaan benar-benar terlupa dan tidak mempunyai sebarang niat untuk meninggalkan isterinya. – Agensi