Anwar jemput Trump hadir sidang kemuncak ASEAN-AS
Iklan
Anwar ketika menerima kunjungan hormat Marco Rubio di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Pejabat Perdana Menteri/Izzudin Abd Razak
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di sini, Oktober depan.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata, jemputan itu disampaikan menerusi Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau hari ini.
Iklan
Iklan
"Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan," kata Perdana Menteri.
Pertemuan kira-kira 40 minit itu diadakan di Bangunan Parlimen dan ia adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.
Iklan
Selain itu, Anwar berkata pertemuan tersebut juga membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
"Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Perdana Menteri.
Iklan
Rubio berada di sini bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.
Perdana Menteri dalam sidang media di Rio De Janeiro semasa mengakhiri lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil pada 7Julai berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.
Menurut Perdana Menteri beberapa ketua kerajaan dari luar ASEAN telah mengesahkan kehadiran mereka ke sidang berkenaan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
Antara pemimpin yang telah mengesahkan kehadiran termasuk Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang kini memegang jawatan Presiden Kumpulan G20, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni serta Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
Ketika ini, 10 negara anggota ASEAN ialah Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Filipina.
Selain negara anggota, antara rakan luar yang lazimnya menghadiri sidang kemuncak ASEAN ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei lepas turut menampilkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat pertama kali. - Bernama
Beliau berkata, tindakan tegas itu bukan kepada peminjam yang baru menamatkan pengajian atau belum mempunyai pendapatan, apatah lagi mereka yang tergolong dalam kalangan B40 atau M40.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/767413/berita/nasional/sekatan-ke-luar-negara-hanya-kepada-peminjam-ptptn-berpendapatan-tinggi-yang-culas---adam-adli
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.