ASEAN mahu situasi di Laut China Selatan diurus secara berhemah

Iklan
Mohamad ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Pasca Menteri ASEAN bersama China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - ASEAN menyeru semua pihak untuk menguruskan situasi di Laut China Selatan secara berhemah bagi memastikan isu geopolitik di laluan perairan strategik itu tidak meningkat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN juga perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan, ia kerana keamanan sejagat dilihat semakin rapuh dengan ketara sejak kebelakangan ini.

“Justeru, kita perlu memastikan keamanan geopolitik tidak terus meningkat hingga menjejaskan keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Pasca Menteri ASEAN bersama China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Malaysia menjadi hos AMM dan mesyuarat berkaitan yang merupakan acara tahunan utama dalam kalendar ASEAN di bawah tema Kepengerusian ASEAN 2025, 'Keterangkuman dan Kelestarian' bermula Selasa hingga Jumaat.

Iklan

Mohamad turut memaklumkan, ASEAN menyambut baik perkembangan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan sekali gus mengharapkan momentum positif itu kekal berterusan.

“Kami yakin dengan komitmen penuh kesemua pihak dalam rundingan unik dan kita mampu menuntaskan CoC yang efektif dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau juga menyambut baik kesediaan China selaku Negara Senjata Nuklear (NWS) pertama yang menandatangani dan mengesahkan protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa reservasi.

Tambahnya, ia menandakan satu langkah signifikan yang memperlihatkan komitmen China terhadap Asia Tenggara bebas senjata nuklear.