SHAH ALAM - Syarikat Malaysia terkemuka dalam pembangunan sistem elektronik pertahanan (DES) berteknologi tinggi, Mindmatics Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik bersama Nexcore Technology Co Ltd iaitu sebuah syarikat tersohor yang pakar dalam penyelesaian keselamatan siber berkuasa kecerdasan buatan (AI), sistem penyulitan canggih dan teknologi komunikasi.
Pengarah Mindmatics, Abdul Wahab Sulaiman berkata, usahasama itu bertujuan menggabungkan kepakaran Mindmatics dalam sistem elektronik pertahanan dengan inovasi teknologi AI Nexcore bagi membangunkan next-generation AI multi-source communication box.
Menurutnya, kolaborasi tersebut turut menekankan aspek pertukaran data selamat melalui integrasi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bagi memastikan komunikasi kekal dilindungi meskipun menghadapi ancaman pengkomputeran kuantum pada masa hadapan.
"Kerjasama strategik ini hadir pada waktu di mana integrasi AI dalam pertahanan siber menjadi keperluan penting untuk menangani ancaman siber yang semakin kompleks dan sentiasa berkembang.
"Apabila ancaman siber menjadi semakin kompleks, langkah keselamatan tradisional tidak lagi mencukupi. Masa depan pertahanan siber bergantung kepada keupayaan AI yang bukan sahaja untuk menangkis ancaman, malah mendahuluinya.
"Penyelesaian kami melangkaui langkah reaktif, ia secara autonomi menjangka, menyesuaikan diri dan meneutralkan risiko, memberikan kelebihan strategik kepada negara dalam era digital,” katanya ketika Persidangan dan Pameran Pertahanan Keselamatan Siber dan Keselamatan, CYDES 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Tambah beliau, Mindmatics berada di barisan hadapan era baharu ini menawarkan penyelesaian canggih yang menggabungkan penyulitan masa nyata berasaskan AI, analitik ancaman ramalan dan pembelajaran mesin adaptif.
Ujarnya, dengan teknologi tersebut, penyelesaian pihaknya mampu mengesan dan meneutralkan risiko sebelum ia muncul, sekali gus memastikan keselamatan komunikasi sulit dan operasi termasuk daripada ancaman siber paling maju.
"Pembangunan berkuasa AI menerusi next-generation AI multi-source communication box dan sistem pertahanan siber ini akan meningkatkan keupayaan AI dalam industri tempatan dengan memastikan teknologi tersebut disesuaikan mengikut keperluan operasi dan persekitaran keselamatan negara.
"Kemajuan ini bukan sahaja memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia malah membina kepakaran tempatan dalam integrasi AI untuk aplikasi pertahanan dan keselamatan siber.
"Menerusi kerjasama ini, Mindmatics dan Nexcore meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi pertahanan pintar dengan AI sebagai alat keselamatan siber kritikal dan pemacu transformasi merentas semua domain sistem pertahanan," ujarnya.
Menurut beliau, langkah berkenaan menjamin kesiapsiagaan dan daya tahan negara menghadapi cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.
"Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi pertahanan di peringkat serantau dan global," katanya.