Kedah Fashion Week 2025 gabung kreativiti pereka fesyen, bakat muda UniKL

Iklan
Grace Ho (dua dari kanan) dan Ken Chin (kanan) ketika sidang media Kedah Fashion Week (KFW) 2025 di The Exchange TRX,KL pada Rabu. -FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Kedah Fashion Week (KFW) 2025 bakal membuka tirainya Ogos ini dengan menampilkan 18 pereka fesyen termasuk 11 bakat muda dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang akan mempersembahkan koleksi eksklusif sempena ulang tahun ke-10 Aman Central, Alor Setar.

Acara berprestij yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos itu dijangka menyerlahkan gabungan tenaga baharu dan nama-nama tersohor industri.

Iklan
Iklan

Antara pereka yang kembali ke pentas termasuk Seth & Luna, Salleh Hamid, Hasfitri Yusof, Teddie Alrashed, Naemah Khuntum, Ikmal Mukmin, Wan & Mary, Fareez Axuan, YT Lim, Asyraf Arrif dan Taufik Idros.

Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan semula pereka visionari, Shanell Harun serta penyertaan wajah baharu seperti Isyraf Arsyi, Hazizul Aziz, Helmi Hamdan, Ku Syafiq dan Liren Ho.

Iklan

KFW 2025 yang bertemakan ‘Berlian’ dipilih sebagai simbol transformasi Aman Central sejak dibuka pada 2015 sekali gus menjadi ikon gaya hidup dan nadi ekonomi bandar Alor Setar.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, KFW bukan sekadar pertunjukan fesyen tetapi medan penting untuk memperkasa bakat tempatan dan menyemarakkan industri kreatif di utara tanah air.

Iklan

“Setiap edisi membuka ruang kepada wajah-wajah baharu untuk menyerlah dan menyumbang kepada warna industri fesyen negara,” katanya ketika sidang media pelancarannya di The Exchange TRX di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sejak dianjurkan pada 2016, KFW telah berkembang menjadi gerakan budaya tahunan yang mencetus inspirasi serta menyatukan komuniti melalui ekspresi seni dan gaya.

Edisi tahun ini turut menampilkan segmen istimewa bertajuk Evolut10n, sebagai penghargaan kepada sedekad kejayaan Aman Central dalam membentuk gaya hidup moden di Kedah.

Sementara itu, Pengarah Belleview Group, Grace Ho, Aman Central akan terus memperkukuh peranannya sebagai pusat gaya hidup dan budaya serantau yang menyatukan idea, komuniti serta warisan.

“KFW 2025 mampu membuka lembaran baharu dalam landskap fesyen Malaysia dengan mengetengahkan identiti, keberanian dan bakat generasi masa depan,” katanya.