Yamaha suntik RM200,000 bantu persiapan Bunga Raya 7s ke Sukan SEA 2025

Iklan
Dari kiri, Mun Wei menerima replika, jersi skuad ragbi kebangsaan daripada Amir Amri. Foto: KRM

[DIKEMAS KINI] PERSIAPAN skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita negara menjelang Sukan SEA Thailand 2025 menerima suntikan semangat baharu apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tampil menaja pasukan berkenaan dengan penajaan berjumlah RM200,000.

Penajaan berstatus Perak itu disalurkan kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi menyokong latihan intensif dan pembangunan menyeluruh pasukan Bunga Raya 7s, yang kini giat membuat persiapan rapi ke temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Iklan
Iklan

Presiden KRM, Amir Amri Mohamad, merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh syarikat gergasi automotif itu, yang disifatkan mampu memberi impak besar terhadap pencapaian pasukan ragbi di pentas antarabangsa.

“KRM amat menghargai komitmen Hong Leong Yamaha Motor dalam menyokong pasukan Bunga Raya tujuh sebelah.

Iklan

"Penajaan ini bukan sahaja memberi kelegaan kewangan, malah menyuntik motivasi buat pemain-pemain yang majoritinya merupakan penuntut institusi pengajian tinggi.

“Mereka sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi serta komitmen luar biasa dalam setiap sesi latihan dan kejohanan, meskipun berhadapan pelbagai kekangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penajaan Rasmi HLYM dan KRM di Genblu Café, ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh pada Selasa.

Iklan

Majlis penajaan tersebut turut dihadiri Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr Jim Khor Mun Wei, yang menyatakan bahawa semangat yang dibawa oleh pasukan ragbi negara adalah seiring dengan nilai yang didukung oleh jenama Yamaha.

“Nilai seperti ketabahan, semangat kesukanan dan kerjasama sepasukan adalah selari dengan falsafah perniagaan kami.

"Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat memenuhi keperluan asas pasukan seperti latihan, pemakanan serta elaun atlet bagi memastikan prestasi terbaik dapat ditampilkan di Sukan SEA nanti,” katanya.

Sementara itu, Amir Amri menyifatkan penajaan daripada HLYM suntikan semangat yang besar buat skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan dalam misi memburu pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Presiden KRM, Amir Amri Mohamad berkata, penajaan tersebut bakal memperkukuh persiapan pasukan lelaki dan wanita ragbi 7s negara, yang kini sedang giat menjalani latihan menjelang kejohanan penting peringkat Asia dan serantau.

“Dengan adanya RM200,000 ini, insya-ALLAH seperti mana diharapkan oleh peminat tanah air, persiapan pasukan akan lebih rapi. Kami akui sebelum ini masih banyak kekurangan terutama dari sudut logistik dan teknikal, tetapi dengan bantuan ini, ia akan dapat diatasi sedikit demi sedikit.

“Penajaan ini juga diharap menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak syarikat tampil menyokong pasukan Bunga Raya lelaki dan wanita,” katanya.

Mengenai Thailand 2025, Amir menyifatkan pencapaian terakhir yang membanggakan ialah ketika Malaysia meraih pingat emas dalam ragbi lelaki dan gangsa bagi wanita pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Untuk edisi 2025, sememangnya impian kami adalah membawa pulang pingat emas. Namun, kita harus realistik kerana persaingan dari negara lain juga semakin sengit.

“Saya yakin dan percaya dengan sokongan penaja seperti Hong Leong Yamaha ini, ia akan menjadi pemangkin baharu kepada kebangkitan skuad Bunga Raya,” ujarnya.