KUANTAN - Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dirempuh dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 207.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Selasa.
Dalam nahas kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang pelajar itu yang berada di lorong kiri dipercayai terbabas ke lorong kanan.
"Dua kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang berada dari lorong kanan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.
"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.
Mohd Adli berkata, kedua-dua pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan basah akibat hujan serta tahap pencahayaan yang gelap.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu katanya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan cermat dan berwaspada khususnya dalam keadaan cuaca hujan dan gelap bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.