BAGAN SERAI – Seorang lelaki maut selepas tercampak ke dalam parit dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Parit Buntar ke Sungai Bogak di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setelah pasukan di lokasi didapati berlaku kemalangan dipercayai melibatkan pertembungan antara dua motosikal iaitu Yamaha LC dan Honda EX5.
“Seorang lelaki berusia 58 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC didapati tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.
“Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 44 tahun yang menunggang motosikal EX5 mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian awal situasi sebelum mengarahkan rawatan awal diberikan kepada kedua-dua mangsa.
Jelasnya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Parit Buntar menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, operasi disertai lapan anggota bersama satu jentera dan satu unit EMRS itu tamat sepenuhnya pada jam 8 pagi.