Tulisan tangan tanda terima kasih untuk 'Uncle Aedy'

Iklan
Surat penghargaan daripada Nurul Amani kepada Aedy Fadly. (Gambar kecil: Aedy Fadly)

SHAH ALAM –"Kehadapan Uncle Aedy yang kini berada dalam keadaan sihat sejahtera bersama keluarga tercinta. Nurul Amani sentiasa mendoakan Uncle Aedy supaya diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki."

Itu antara bait ayat dalam sepucuk surat penghargaan bertulisan tangan yang ditujukan khas kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Iklan
Iklan

Difahamkan, surat tersebut ditulis oleh seorang pelajar Tingkatan Lima dari sebuah sekolah di Pulau Pinang sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan JPJ dalam melaksanakan bantuan lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 Tahun 2025.

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik JPJ di laman Facebook rasminya, pelajar berkenaan, Nurul Amani Zabani merupakan antara penerima manfaat program tersebut.

Iklan

Dalam surat itu, Nurul Amani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JPJ dan kerajaan atas inisiatif memberikan lesen memandu percuma yang disifatkan sangat membantu golongan memerlukan.

"Nurul Amani sangat menghargai kebaikan dan keprihatinan semua, terutamanya dalam menjayakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 yang diadakan pada hari Jumaat lepas.

Iklan

"Kami mendoakan agar Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan Kerajaan Malaysia Madani sentiasa berdiri teguh dan memperbanyakkan lagi inisiatif untuk membantu rakyat, termasuk meneruskan program MyLesen ini bagi mengurangkan kesalahan memandu tanpa lesen pada masa akan datang," tulisnya.

Menurut JPJ, Nurul Amani dan ibunya, Asma Aziz telah menerima lesen memandu melalui Program MyLesen B2 semasa Majlis Penyerahan Lesen Memandu Peringkat Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Aedy Fadly pada 20 Jun lalu.

Difahamkan, Nurul Amani sebelum ini turut menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi beliau ke Pulau Pinang, menyatakan hasrat untuk menyertai program berkenaan kerana tidak berkemampuan.

"Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 telah membantu seramai 993 penerima yang layak memperoleh lesen memandu B2, terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan golongan belia.

"Pihak JPJ akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif berorientasikan rakyat, terutamanya dalam usaha meningkatkan sosioekonomi mereka," jelas kenyataan JPJ.