Anggota Jabatan Penjara direman cabul isteri orang

Iklan
Seorang anggota Jabatan Penjara berpangkat koperal direman selama dua hari bermula Isnin oleh Mahkamah Jasin selepas disyaki mencabul kehormatan rakan sekerjanya yang telah berkahwin. Foto hiasan

JASIN – Seorang anggota Jabatan Penjara berpangkat koperal direman selama dua hari bermula Isnin oleh Mahkamah Jasin selepas disyaki mencabul kehormatan rakan sekerjanya yang telah berkahwin.

Perintah reman sehingga Selasa terhadap suspek berusia 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, tindakan suspek terbongkar selepas mangsa, yang juga ibu kepada tiga orang anak, menceritakan kejadian itu kepada suaminya pada Ahad lalu.

Katanya, pengadu yang berpangkat sarjan berasa tertekan kerana suspek sering kali mengganggunya dengan menghantar mesej berunsur lucah, sebelum suaminya menemaninya membuat laporan polis.

Iklan

“Kejadian dipercayai berlaku pada Mei lalu apabila suspek datang ke pejabat pengadu atas urusan kerja.

“Namun, secara tiba-tiba suspek memeluk dan mencabul kehormatan pengadu, menyebabkan wanita itu melawan,” katanya.

Iklan

Tambah sumber itu, pengadu tidak segera menceritakan insiden tersebut kepada suaminya kerana bimbang berlaku perselisihan antara mereka dan suspek.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, suspek sekali lagi masuk ke pejabat pengadu dan mengajaknya berbual sebelum menghampiri dan mengurut bahunya.

“Pengadu menegur perbuatan tersebut sebelum suspek beredar. Namun, disebabkan tekanan emosi dan ketakutan, mangsa akhirnya menceritakan semua kejadian itu kepada suaminya.

“Susulan laporan polis yang dibuat, suspek telah ditahan di pejabatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul kehormatan,” katanya lagi.