SPRM gondol tiga anugerah ASEAN PR Awards 2025

Iklan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkul tiga anugerah berprestij di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 pada Isnin. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkul tiga anugerah berprestij di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 di sini pada Isnin.

Tiga anugerah yang diterima Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) itu ialah Anugerah Berlian bagi kategori ‘Best Crisis Management’ dan dua Anugerah Emas untuk kategori ‘Best Government PR’ serta kategori ‘Best Communication Use Of Social Media’.

Iklan
Iklan

Bagi ketiga-tiga kategori ini, BKS SPRM telah mengemukakan laporan khas berkaitan peranan mereka sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan krisis bagi penyiasatan kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memenangi Anugerah Berlian.

Dua lagi laporan ialah pelan pengurusan media bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan merevolusikan promosi serta publisiti SPRM menerusi Kecerdasan Buatan (AI).

Iklan

Hadiah bagi Anugerah Berlian telah disampaikan oleh Presiden ASEAN Public Relations Network (APRN), Prita Kemal Gani kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, manakala Anugerah Emas bagi kategori ‘Best Crisis Management’ diterima oleh Timbalan Pengarah BKS SPRM, Jules Rahman Ong dan ‘Best Communication Use Of Social Media’ diwakili Badrila Jamlus serta Azrai Mohammad.

Menurut Azmi, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada SPRM kerana perhubungan awam dan komunikasi bukan sekadar sokongan kepada suruhanjaya ini tetapi adalah nadi kepada integriti serta kepercayaan dalam sesebuah organisasi.

Iklan

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ASEAN PR Network, barisan panel hakim antarabangsa dan ASEAN, Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) serta semua peserta yang hadir hari ini.

“Kami memikul tanggungjawab ini dengan penuh serius. Kami sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan melalui profesionalisme, konsistensi dan latihan berterusan.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap dedikasi dan semangat mereka. Bagi pihak SPRM, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas penghormatan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Prita, anugerah ini mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang perhubungan awam di seluruh rantau ASEAN, meraikan kempen inovatif dan inisiatif berimpak yang telah menyumbang kepada kemajuan profesion ini.