[VIDEO] Tiada kesan brek, kereta dinaiki enam beranak disyaki terbabas sendiri - Polis

Iklan

ALOR SETAR – Polis tidak menolak kemungkinan kereta yang dinaiki enam sekeluarga yang maut selepas terjunam ke dalam Sungai Korok di sini terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Rahim berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kesan brek atau serpihan kemalangan di kawasan rumput berhampiran sungai.

Iklan
Iklan

Misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam kereta yang berada di dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja. Foto Bernama

“Hasil semakan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan laluan kenderaan di atas rumput yang terus menghala ke sungai.

Iklan

“Tiada kesan brek, tiada kesan pelanggaran, dan tiada cebisan kenderaan lain ditemukan. Berdasarkan keadaan ini, kita percaya kereta terbabas sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Isnin.

Mohd Radzi (tengah) semasa ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Turut hadir Exco Kedah, Muhammad Radhi Mat Din (kanan)

Iklan

Menurut Mohd Radzi, pihaknya menerima laporan kehilangan pada Ahad jam 1 pagi daripada adik kepada mangsa lelaki, yang memaklumkan abangnya bersama isteri dan empat anak keluar rumah sekitar jam 5.30 pagi dan gagal dihubungi.

“Berdasarkan laporan itu, kita buka siasatan orang hilang. Keesokan harinya, pada 7 Julai, kita menerima maklumat daripada orang awam yang ternampak sebuah kenderaan tenggelam di Sungai Korok,” katanya.

Pihak polis kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan mengeluarkan kenderaan tersebut.

Hasil semakan mendapati kenderaan jenis Proton Iswara itu mengandungi enam mangsa yang dilaporkan hilang, terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak mereka.

“Mayat kesemua mangsa dibawa ke HSB, Alor Setar untuk proses bedah siasat. Kita masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital,” jelas beliau.

Mohd Radzi menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan setakat ini tiada petunjuk menunjukkan penglibatan kenderaan lain dalam kejadian tersebut.

“Kami akan teruskan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti aspek teknikal dan keadaan jalan. Namun buat masa ini, tiada unsur jenayah atau pelanggaran dikesan,” katanya.