Pengawal keselamatan didakwa bunuh rakan di tepi jalan

Iklan
Nagentherah (depan, tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh seorang rakannya dalam satu pergaduhan, di tepi jalan dua bulan lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan membunuh seorang rakannya dalam satu pergaduhan, di tepi jalan dua bulan lalu.

K Nagentherah, 39, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, S Arunjothy.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang memakai baju hitam itu didakwa membunuh pengawal keselamatan, K Kumaran, 44, di tepi jalan Taman Intan Baiduri, Sentul pada jam 9.23 malam 25 Mei lalu.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

ndakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden (ASP), Mohd Yunus Daud sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

Pada 26 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa pergi ke sebuah kuil, sebelum minum bersama sekumpulan lelaki di hadapan rumah ibadat itu.

Beliau berkata, ketika di lokasi kejadian, difahamkan berlaku perselisihan faham sebelum suspek beredar dan kembali semula untuk menetak mangsa.