SHAH ALAM - Isu melibatkan kejadian kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights pada April lalu akan dibahaskan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada jam 4.30 petang ini.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, isu itu akan dibahaskan selepas sesi taklimat khas yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari atau wakilnya selepas pembentangan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025.
Iklan
Iklan
"Seperti yang saya nyatakan ada perbahasan (isu letupan di Putra Heights) selepas ini pada sebelah petang, Menteri Besar akan berjumpa dengan semua ahli dewan untuk memberi taklimat.
"Selepas itu dewan akan bersidang semula dan kita semua akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Kerajaan akan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan," katanya ketika persidangan DUN Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan petisyen daripada 20 penama iaitu mangsa yang terkesan akibat insiden letupan itu supaya perkara berkenaan dibincangkan pada persidangan DUN Selangor.
Bagaimanapun, Weng San tidak membenarkan rayuan berkenaan berikutan bertindih dengan permohonan yang difailkan Amirudin untuk membentangkan perkara itu pada sidang DUN kali ini.
Untuk rekod, persidangan DUN Selangor yang bermula pada Isnin dijangka akan berlangsung sehingga 18 Julai ini.