GEORGE TOWN – Empat individu termasuk tiga wanita cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan York, Sungai Air Terjun di sini petang Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Setibanya pasukan di lokasi pada jam 3.41 petang, didapati sebuah Perodua Alza telah terbabas dan terjunam ke dalam sungai.
"Empat mangsa yang terperangkap di dalam MPV itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
John Sagun berkata, mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Rashidah Bee Shaik Mydin, 54, Fatimah Beevi PM Mydin, 59, dan Mydin Fatimah PM Mydin, 63, manakala pemandu kenderaan terbabit, Mohd Barak Abdul Latiff, 64, dilaporkan cedera ringan.
Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan sekitar jam 4.00 petang sebelum dihantar ke hospital berhampiran oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.03 petang.