'Kami tidak akan berhenti' - Indonesia ikrar teruskan pencarian 29 mangsa feri karam

Iklan
Pihak berkuasa Indonesia berikrar akan meneruskan operasi SAR secara besar-besaran bagi mengesan 29 individu yang masih hilang - Foto: Agensi

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia berikrar akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran bagi mengesan 29 individu yang masih hilang selepas sebuah feri penumpang karam di Selat Bali minggu ini.

KMP Tunu Pratama Jaya karam di Selat Bali lewat Rabu malam di perairan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, menyebabkan enam maut manakala 30 daripada 65 penumpang serta kru feri berjaya diselamatkan setakat ini.

Iklan
Iklan

"Kami tidak akan berhenti sehingga semua mangsa ditemui. Ini adalah tanggungjawab kemanusiaan yang tidak boleh ditinggalkan separuh jalan,” kata Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha pencarian telah diperkukuh dengan aset Tentera Laut Indonesia, termasuk kapal yang dilengkapi sonar yang mampu mengesan objek di bawah air pada kedalaman sehingga 400 meter.

Iklan

Sebuah helikopter, penyelam tentera laut daripada unit pasukan khas dan pakar Pusat Hidro-Oseanografi turut dikerahkan.

Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) R. Eko Suyatno berkata, lebih 10 kapal daripada tentera laut, polis dan agensi wilayah, bersama bot nelayan tempatan terlibat dalam operasi bersama itu.

Iklan

Kawasan pencarian di laut telah diperluaskan sehingga radius 20 batu nautika di selatan lokasi feri dipercayai karam, manakala di darat, pasukan tentera, polis dan sukarelawan melakukan pencarian di kawasan pesisir pantai Banyuwangi.

"Dua buah helikopter sedang melakukan pemantauan dari utara ke selatan sebagai sebahagian daripada pencarian dari udara,” katanya.

Pihak berkuasa juga sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi mengeluarkan mangsa dari dasar laut dengan 22 penyelam telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan peralatan tambahan turut disediakan di pelabuhan, tambahnya.

Punca kejadian feri karam masih dalam siasatan. - Bernama