JPJ Kelantan kutip RM205,290 hasil lelongan 102 kenderaan termasuk motosikal PATI

Iklan
Mohd Misuari (dua dari kanan) bersama pegawainya melihat motosikal yang berjaya dilelong.

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan meraih kutipan sebanyak RM205,290 hasil lelongan 102 kenderaan, termasuk 74 motosikal yang sebahagian besarnya disita kerana digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, lebih 50 peratus motosikal berkenaan disita dalam operasi penguatkuasaan sejak 2022 apabila didapati digunakan oleh warga asing etnik Rohingya, antaranya sebagai pekerja ladang dan peniaga pasar malam.

Iklan
Iklan

“Kebanyakan kes melibatkan motosikal berdaftar atas nama rakyat tempatan tetapi digunakan oleh warga asing tanpa lesen atau cukai jalan.

“Apabila disita, kami beri tempoh dan hantar surat, namun pemilik enggan hadir menuntut, maka diteruskan proses lucut hak melalui mahkamah dan dilelong,” katanya pada sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Kelantan di Panji pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, antara jenis motosikal yang lazim digunakan oleh PATI termasuk Modenas Kriss 110, Honda EX5 110 dan SYM Bonus 110 yang dijual murah di pasaran terpakai.

Mohd Misuari (dua dari kiri) menunjukkan antara kereta yang dilelong oleh JPJ Kelantan.

“Banyak juga kes melibatkan pemilik tempatan yang lepas tangan selepas meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing tanpa dokumen sah.

Iklan

“Ada kes pemilik kata kenderaan dipinjamkan untuk beli makanan dan apabila disita, tidak mahu datang tuntut,” katanya.

Daripada keseluruhan kenderaan yang dilelong, 67 daripadanya boleh dilesenkan iaitu 13 kereta, 52 motosikal dan dua lori, manakala baki 35 adalah kenderaan berstatus scrap termasuk 22 motosikal.

“JPJ juga, buat kali pertama, melelong sebuah lori jenis Hino yang disita kerana membawa muatan berlebihan.

“Kutipan tertinggi pada sesi lelongan kali ini berjumlah RM51,000 bagi lori Hino berkenaan, manakala bidaan kedua tertinggi RM30,000 untuk lori Daihatsu Delta yang disita kerana kesalahan cukai jalan,” ujarnya.

Pembida yang menyertai lelongan di JPJ Panji di Kota Bharu.

Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 1,000 kenderaan sitaan kini masih berada di depoh JPJ seluruh Kelantan dan sedang melalui proses perundangan untuk dilucut hak.

“Sebahagian telah mendapat perintah lucut untuk sesi lelongan seterusnya, dan lokasi pusat lelongan sedang dipertimbangkan kerana ada stesen penguat kuasa yang sudah terlalu sesak,” katanya.