SUNGAI PETANI – Seorang wanita dipercayai isteri kepada lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Puteri Jaya di sini malam Sabtu, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di rumah sewa mereka yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, hasil pemeriksaan di kediaman terbabit turut menemui sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
“Suspek kini direman sehingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis dalam operasi khas di kawasan perumahan tersebut.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan mempunyai kaitan dengan dua lagi individu yang ditembak mati dalam kejadian berasingan di Jitra pada jam 8.05 pagi Sabtu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berasal dari Perak itu dikesan mempunyai lebih 30 rekod lampau berkaitan dadah, samun bersenjata dan kegiatan gengsterisme.
Menurutnya, satu senjata api dan beberapa barang kes lain turut ditemui dan polis percaya kumpulan ini aktif melakukan samun kedai emas sejak tahun 2022 membabitkan kerugian hampir RM6 juta.
Fadil berkata, kumpulan terbabit dikesan terdiri daripada lebih 10 individu dan pihaknya percaya beberapa lagi serbuan serta tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.