ABIM harap pelantikan Mohd Azam bawa agenda reformasi pendidikan menyeluruh

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Aliemran

SHAH ALAM - Pelantikan Dr Mohd Azam Ahmad sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia baharu berkuat kuasa 7 Julai ini diharap dapat digalas dengan penuh komitmen dan iltizam reformis.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aliemran Norasid berkata, ABIM yakin pelantikan tersebut hadir pada waktu yang amat kritikal bagi mencorak masa depan pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, Dr Mohd Azam hadir dengan latar belakang akademik yang utuh dan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan,

"ABIM menzahirkan harapan tinggi agar Dr Mohd Azam dan seluruh pasukan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan iltizam reformis, tanpa ruang untuk bulan madu.

Iklan

"Kini masanya untuk bekerja keras, turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat dan melaksanakan agenda reformasi pendidikan secara tuntas dan menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Aliemran berkata, pendidikan negara mesti dibina di atas asas nilai, dirancang dengan pandangan jauh ke hadapan dan menyantuni realiti kehidupan murid, guru serta masyarakat.

Iklan

Jelasnya, keutamaan mesti diberikan dengan menjadikan sistem pendidikan lebih tangkas, fleksibel dan relevan dalam era digital; perubahan global dan memperkukuh pendidikan nilai, akhlak serta kemasyarakatan sebagai teras pembinaan jati diri bangsa.

"Selain itu, ia juga mesti menjamin akses dan kualiti pendidikan yang adil dan saksama; merentas wilayah, kaum dan latar sosioekonomi serta melahirkan pelajar yang holistik bukan sekadar cemerlang akademik tetapi berintegriti, kreatif, patriotik dan bersedia memimpin masa depan.

"ABIM percaya bahawa masa depan anak-anak Malaysia menuntut satu pendekatan pendidikan yang berani, progresif dan berpaksikan prinsip Madani, bukan perubahan bersifat kosmetik tetapi reformasi sebenar yang menyentuh dasar, amalan dan budaya sistem pendidikan negara," katanya.

Tambahnya, sebagai gerakan masyarakat Madani yang sekian lama bergiat dalam bidang pendidikan dan pembangunan insan, ABIM sedia bekerjasama dan menyumbang dalam menjayakan agenda pendidikan sebagai asas kemajuan negara dan kemuliaan ummah.