PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli dijangka memperagakan tunggangan bertenaga pada Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) di Litar Magny-Cours, Perancis hujung minggu ini.
Pengurus pasukan SIC Racing-MSi, Zulfahmi Khairuddin optimis anak buahnya itu mampu kembali ke pentas podium selepas prestasi kurang memberangsangkan pada pusingan lalu di Jerez, Sepanyol.
“Sasaran utama kami adalah untuk kembali ke podium bersama Hakim Danish. Saya yakin dengan motivasi dan tahap keyakinan yang dimilikinya ketika ini,” katanya.
Litar Magny-Cours yang lebih sinonim dengan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) akan menganjurkan perlumbaan JrGP buat kali pertama musim ini.
Zulfahmi, yang juga bekas pelumba Moto3 negara berkata, pasukannya kini berada pada tahap persediaan terbaik termasuk daripada segi jentera, selepas menjalani ujian persendirian di Magny-Cours dua minggu lalu.
“Secara jujur, saya percaya pasukan mampu menyediakan jentera yang kompetitif. Hakim Danish juga kian matang dan corak tunggangannya semakin kemas,” ujarnya.
Pelumba berusia 17 tahun itu sebelum ini memulakan musim dengan cemerlang apabila meraih tempat kedua di Estoril, Portugal, namun sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan dan Perlumbaan 2 di tempat kelima ketika aksi di Jerez.
Hakim Danish ketika ini menghuni tangga keempat carta keseluruhan JrGP dengan 38 mata, ketinggalan 37 mata di belakang pendahulu, Brian Uriarte dari Sepanyol.