DUA beregu campuran utama negara, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi dan Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan, melangkah bergaya ke peringkat suku akhir Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia Petronas 2025 selepas menampilkan aksi meyakinkan dalam pusingan kedua yang berlangsung di Dewan Wawasan, Perlis.
Pasangan pilihan utama kejohanan, Datu Anif-Dania, tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-11, 26-24 ke atas wakil Indonesia, Theodorus Steve Kurniawan-Leonora Keyla Frandrica, sekali gus menempah tiket ke kelompok lapan terbaik.
Beregu berusia 17 tahun yang masing-masing berasal dari Sabah dan Johor itu sebelum ini memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menyingkirkan rakan senegara, Haris Muhamad Adam-Giovanna Koay, juga menerusi kemenangan straight set, 21-11, 21-11.
Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan satu lagi pasangan Malaysia, Isyraf Hafizin-Rachel Tan, dalam aksi suku akhir esok.
Sementara itu, pasangan pilihan kedua, Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah, turut mara bergaya selepas menumpaskan Mohamad Luqman Hakim Yusof Daneel-Christine Lam dalam masa hanya 19 minit menerusi keputusan 21-7, 21-11.
Ziheng dari Kedah dan Noraqilah dari Melaka, yang juga juara Kejohanan Bawah 18 Kebangsaan 2025, tidak berdepan masalah di pusingan pertama apabila menundukkan Albee Loh-Auni Fatihin Azuan dengan keputusan 21-9, 21-8.
Mereka bakal berdepan cabaran getir di suku akhir apabila dijadualkan bertemu pilihan keenam dari Hong Kong, Cheung Sai Shing-Chu Wing Chi.
Malaysia turut diwakili dua lagi beregu campuran dalam saingan suku akhir, iaitu Ethan Oh-Genevie Lim dan Irfan Mohd Shazmir-Nur Aina Maisarah.
Ethan-Genevie akan berentap dengan gandingan dari Hong Kong, Cheng Ying Kit-Hung Ho Yan, manakala Irfan-Nur Aina bakal menguji kemampuan menentang pasangan pilihan keempat dari Thailand, adik-beradik Tonkid dan Tonrug Saeheng.