Dua maut, bas bawa pekerja ladang rempuh lori tangki sedang ditunda

Iklan
Dua penumpang maut selepas bas dinaiki mereka merempuh belakang lori tangki rosak yang sedang ditunda di KM80.7, Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan, dekat Ayer Hitam awal pagi Khamis. Foto IPD Batu Pahat

BATU PAHAT - Dua penumpang lelaki warga Indonesia maut selepas bas yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori tangki yang sedang ditunda di Kilometer 80.7, Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan berhampiran Ayer Hitam awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.27 pagi itu, bas terbabit dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan membawa 45 penumpang warga Indonesia dipercayai pekerja estet di kawasan Ulu Tiram, Johor.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati bas dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun itu melanggar bahagian belakang lori tangki yang sedang ditarik oleh lori tunda dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Bas terbabit dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan membawa 45 penumpang warga Indonesia dipercayai pekerja estet di kawasan Ulu Tiram, Johor. Foto IPD Batu Pahat

Iklan

“Akibat kemalangan itu, dua penumpang lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 43 dan 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Ayer Hitam.

“Mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di dada, kepala dan kaki manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Shahrulanuar Mushaddat berkata, seorang lagi penumpang wanita warga Indonesia berusia 43 tahun cedera di tangan manakala pemandu bas pula mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, bahu dan tangan.

“Lima lagi penumpang bas turut mengadu sakit di bahagian kepala, manakala pemandu lori tunda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.