Jangan terpedaya video AI kereta kabel Perak ke Kedah

Iklan
Tangkap layar dari video janaan AI menunjukkan seorang wartawan melaporkan tentang kewujudan perkhidmatan kereta kabel di Baling, Kedah.

BALING – Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kewujudan perkhidmatan kereta kabel yang kononnya menghubungkan Pengkalan Hulu, Perak ke Baling, Kedah seperti yang tular menerusi sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya mengakui bahawa kandungan video tersebut dihasilkan menerusi janaan kecerdasan buatan (AI) dan meminta orang ramai supaya tidak keliru.

Iklan
Iklan

“Sudah tentu ia tidak wujud... tetapi saya akui teruja melihatnya.

“Kita rasa terhibur, walaupun hanya kandungan AI. Mana tahu suatu hari nanti ia boleh menjadi kenyataan. Lagipun, Baling dan Pengkalan Hulu memang memiliki gunung dan pemandangan yang sesuai serta cantik,” katanya ketika dihubungi.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan bahawa video tular di aplikasi TikTok dan Facebook mengenai kewujudan kereta kabel itu telah menyebabkan sepasang suami isteri warga emas terpedaya sehingga sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk mencubanya.

Yazlan berkata, insiden itu menjadi peringatan tentang bagaimana kandungan yang dijana oleh AI kini boleh disalah tafsir oleh pengguna media sosial sehingga menyebabkan mereka terpedaya.

Iklan

Jelasnya lagi, sekiranya perkhidmatan itu benar-benar wujud, beliau sendiri akan menjadi orang pertama untuk mencubanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali meminta orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan kandungan, terutama yang tular di media sosial.

“Sehingga kini, kami belum menerima sebarang laporan membabitkan kerugian, penipuan atau kebimbangan berhubung kandungan AI yang tular itu.

“Hasil semakan di daerah Baling mahupun di Pengkalan Hulu, memang tiada projek kereta kabel sedemikian,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya kandungan video seperti itu menyebabkan suasana panik atau gangguan terhadap ketenteraman awam, tindakan boleh diambil mengikut undang-undang sedia ada.

Baru-baru ini, tular sebuah video yang dipercayai dijana AI mengenai kewujudan kereta kabel dari Pengkalan Hulu ke Baling sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sama ada ia benar atau sekadar rekaan semata-mata.

Bagaimanapun, semakan Sinar Harian terhadap video tersebut mendapati ia tidak lagi ditemui setakat ini, dipercayai telah diturunkan daripada semua platform media sosial.