KOTA BHARU - Kerja-kerja baik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah kini dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, proses mereka bentuk dan kajian tanah di kawasan berkenaan kini sedang dilaksanakan dan dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan.
Beliau memaklumkan bahawa kos keseluruhan pembaikan cerun tersebut dianggarkan berjumlah RM6 juta.
“Kita sudah menerima peruntukan dan berharap kerja-kerja pembaikan cerun itu dapat dilaksanakan sebelum musim tengkujuh tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Asyura Perdana JKR 2025 pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.6 juta bagi membaik pulih cerun berkenaan.
Insiden tanah runtuh yang berlaku pada 26 November tahun lalu menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter serta kerosakan struktur cerucuk keping di LRA tersebut.
Tanah runtuh itu turut mengakibatkan gangguan kepada paip air mentah dan terawat serta mengancam beberapa bangunan penting di kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Nik Soh turut memaklumkan bahawa pihaknya menyasarkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) dan Central Spine Road (CSR) dapat disiapkan sebelum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
“Kita berharap kontraktor tidak menghadapi sebarang masalah. Mereka telah memulakan kerja-kerja pembinaan, namun terdapat perbezaan kerana ada yang bermula lebih awal,” katanya.