Premis kediaman tabligh di Labuan jalani proses disinfeksi

Iklan

LABUAN - Dua premis kediaman tabligh di sebuah kawasan perumahan di pulau bebas cukai ini menjalani proses disinfeksi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan berikutan adanya jemaah tabligh dari Brunei dan Tawau di Sabah yang didapati positif bagi Covid-19.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama pagi ini, CPRC menjelaskan selain dua kediaman itu, tingkat dua bangunan UTC Labuan yang menempatkan dua pejabat jabatan persekutuan juga telah dikosongkan bermula pagi ini sebagai langkah pencegahan awal.

Iklan
Iklan

Pengesahan berhubung sama ada ada jemaah tabligh dari Labuan didapati positif Covid-19 hanya akan disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Oleh yang demikian, CPRC Labuan menasihatkan warga Labuan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kerja-kerja disinfeksi ini dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati spekulasi yang dikeluarkan menyebabkan gangguan ketenteraman umum.

Iklan
Iklan

CPRC Labuan juga berkata lebih 40 orang dari Labuan yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas, sebilangan besarnya telah melakukan proses pemeriksaan saringan dan selebihnya sedang dikesan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Labuan.- Bernama