Pacuan empat roda hilang kawalan punca tiga maut tersepit

Iklan
Pacuan empat roda dan treler lori tangki terjunam ke dalam gaung dan menyebabkan tiga daripada maut di lokasi kejadian.

LAHAD DATU - Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler tangki dipercayai menjadi punca kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di Kilometer 26, Jalan Lahad Datu–Sandakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Payau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

Iklan
Iklan

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang datang dari arah bertentangan dan dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki thilang kawalan lalu memasuki laluan treler berkenaan sehingga menyebabkan pertembungan.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas dan terjunam ke dalam gaung sebelum pacuan empat roda tersebut melanggar sebatang pokok kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Tiga lelaki maut pada malam Selasa selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu bersama dua lagi penumpang lelaki masing-masing berusia 28 dan 29 tahun tersepit dalam kenderaan.

Iklan

“Pada jam 12.10 tengah malam, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kesemua mayat dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jimmy berkata, kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Kesemua pemandu juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah, khususnya dalam keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan yang licin bagi mengelakkan kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan tiga lelaki maut pada malam Selasa selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler yang membawa muatan minyak kelapa sawit.